BRYSHERE Gray
BRYSHERE Gray
Agensi

PELAKON siri Empire, Bryshere Gray, 27, ditahan polis atas tuduhan keganasan domestik terhadap isterinya, semalam.

Gray ditahan di kediamannya di Goodyear, Arizona selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada isterinya yang tidak didedahkan namanya pada jam 10.15 kelmarin.

Episod penahanan Gray juga penuh dramatik apabila polis terpaksa menunggu sembilan jam sebelum dia menyerah diri.

Gray yang menghadang rumahnya cuma menyerah diri pada jam 7 pagi keesokannya.

Menurut laporan, isterinya mendakwa Gray melakukan keganasan terhadapnya selama beberapa jam.

Polis dalam satu kenyataan berkata, dia mengalami beberapa kecederaan ringan pada bahagian badannya dan turut mendakwa dicekik Gray.

Sebaik tiba di kediamannya, polis mengatakan Gray enggan keluar rumah dan menghadang dirinya dari dalam. Polis terpaksa meminta bantuan daripada pasukan SWAT dan Perunding Krisis di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, Gray kemudian menyerah diri sebelum ditahan dan polis membuat permohonan untuk membawanya ke penjara daerah Maricopa.

Gray kini berhadapan beberapa dakwaan termasuk keganasan domestik, mencekik dan perbuatan tidak senonoh.

Selepas dirawat di hospital, isterinya kini di bawah jagaan detektif dan penasihat mangsa keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:51 PM