RAMAI wanita hamil berasa kurang selesa pada tulang pelvis apabila janin semakin membesar.
RAMAI wanita hamil berasa kurang selesa pada tulang pelvis apabila janin semakin membesar.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

WANITA hamil lazimnya sentiasa diuji dengan pelbagai ketidakselesaan sama ada pada awal, pertengahan atau trimester akhir kehamilan.

Ada yang mengalami alahan dan hidrasi teruk sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital dan ada yang mengalami kenaikan berat badan secara mendadak akibat perubahan selera makan.

Selain itu, ramai juga kalangan wanita hamil mengalami pelbagai perubahan pada fizikal termasuk rasa kurang selesa pada tulang pelvis kerana janin semakin membesar.

Keadaan itu dikenali sebagai 'Symphysis pubis disfunction' (SPD) dan ia adalah keluhan biasa bagi ibu hamil.

Pakar Obestetrik dan Ginekologi, Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HTCM), Profesor Dr Nur Azurah Abdul Ghani berkata, SPD atau 'pelvic girdle pain' adalah keadaan di mana wanita hamil mengalami ketidakselesaan atau kesakitan di bahagian pelvik.

Kata Dr Nur Azurah, kesakitan itu ada kalanya akan merebak ke bahagian paha dan pinggul, ia lazimnya berlaku pada minggu ke-13 hingga minggu ke-30 kehamilan.

BOLEH menggangu kehidupan harian wanita hamil.
BOLEH menggangu kehidupan harian wanita hamil.

"Antara simptom SPD adalah kesakitan di bahagian tengah bawah iaitu di sekitar kawasan pundi kencing dan pinggul.

"Ada kalanya sakit itu merebak ke bahagian depan dan belakang paha. Malah, kesakitan menjadi lebih parah ketika melakukan pergerakan badan.

"Namun, ia bukan hanya ketika kehamilan, tetapi boleh berlaku selepas kelahiran bayi iaitu dalam tempoh berpantang," katanya.

Mengulas lanjut mengenainya, Dr Nur Azurah berkata, terdapat perbezaan antara SPD dengan masalah 'diastasis symphysis pubis' (DSP).

Kata beliau, SPD merangkumi himpunan gejala yang menunjukkan kesakitan di bahagian pelvik yang boleh mengganggu kehidupan harian wanita berkenaan.

Manakala DSP pula adalah keadaan di mana tulang pelvik sudah merenggang melebihi 10 milimeter (mm) antara satu sama lain dan ia boleh menyebabkan kesakitan.

DSP keadaan tulang pelvik sudah merenggang melebihi 10mm.
DSP keadaan tulang pelvik sudah merenggang melebihi 10mm.

"Oleh itu, DSP adalah sebahagian dari gejala SPD dan dianggarkan satu dalam 800 wanita hamil mengalami masalah DSP," katanya.

Menurut Dr Nur Azurah, SPD lazimnya didiagnos berdasarkan gejala yang diceritakan wanita hamil.

Apabila ditekan pada bahagian simfisis pubis dan sendi sakro-iliak, wanita itu akan mengadu kesakitan.

"Kadangkala wanita berkenaan tidak dapat melakukan pergerakan seperti mengangkang kaki atau memusingkan paha ke arah luar disebabkan sakit yang dialaminya.

"Bagaimanapun, tiada ujian darah atau imbasan X-ray yang boleh membantu dalam membuat diagnosis berkenaan," katanya.

Dr Nur Azurah berkata, masalah DSP pula dapat didiagnos mengunakan X-ray yang diambil pada bahagian pelvik.

POSISI badan tidak betul, peningkatan umur dan kecederaan lampau pada tulang belakang atau pelvik turut meningkatkan risiko masalah SPD.
POSISI badan tidak betul, peningkatan umur dan kecederaan lampau pada tulang belakang atau pelvik turut meningkatkan risiko masalah SPD.

Katanya, jarak antara dua tulang pelvik yang melebihi 10mm membuktikan masalah DSP.

"Namun kerisauan kesan radiasi pada bayi dalam kandungan menyebabkan ia jarang digunakan untuk mendiagnos masalah DSP.

"Dalam hal ini, mesin MRI dan ultrasound juga boleh digunakan untuk tujuan sama," katanya.

Dalam pada itu, Dr Nur Azurah mengakui bahawa punca sebenar masalah SPD masih tidak dapat dipastikan sehingga hari ini.

Kata beliau, hormon relaxin dan progesteron dalam badan wanita itu sendiri dikatakan mungkin punca berlaku masalah SPD berkenaan.

Ini kerana pada awal kehamilan, hormon relaxin dan progesteron dihasilkan pada kadar tinggi.

Jelasnya, hormon relaxin berupaya memecahkan kolagen yang terkandung dalam ligamen pada sendi tulang pelvis.

"Ia menjadikan sendi itu kurang anjal dan lebih fleksibel bagi memudahkan regangan sendi terbabit.

"Hormon progesteron juga dikatakan mempunyai fungsi sama seperti relaxin dan ia penting bagi memastikan tulang pelvis bersedia untuk proses kelahiran bayi.

DR Nur Azurah
DR Nur Azurah

"Fleksibiliti itu menjadikan tulang pelvis kurang stabil dan seterusnya menyebabkan SPD, namun teori berkenaan tidak dapat menjelaskan kenapa SPD sering berlaku di trimester terakhir sedangkan tahap hormon relaxin dan progesteron yang tertinggi adalah pada minggu ke-12 kehamilan," katanya.

Sementara itu, Dr Nur Azurah berkata, posisi tulang belakang dan tulang pinggul ketika kehamilan yang ke hadapan bagi menampung berat bayi yang sedang membesar juga dikatakan antara punca masalah SPD berlaku.

"Selain itu, faktor lain yang mungkin meningkatkan risiko SPD adalah tekanan kerja yang membawa kepada posisi badan tidak betul, peningkatan umur dan kecederaan lampau pada tulang belakang atau pelvik.

"Turut dikaitkan menjadi faktor adalah penyakit 'degenerative', kehamilan yang banyak dan sejarah proses kelahiran yang lama serta sukar disebabkan bayi tersangkut bahu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 7:01 AM