ROGER Ng (kanan) ketika tiba di mahkamah. FOTO Reuters
ROGER Ng (kanan) ketika tiba di mahkamah. FOTO Reuters
Agensi

New York: Perbicaraan kes rasuah bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Roger Ng mendedahkan bekas bos Ng, Tim Leissner memberi keterangan bahawa seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) media yang mempunyai hubungan sulit dengannya memeras ugut untuk dibelikan rumah bernilai AS$10 juta (kira-kira RM41.8 juta).

Ditanya oleh pendakwa Drew Rolle mengenai hubungan sulitnya, Leissner memetik beberapa nama termasuk Datuk Rohana Rozhan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat media Astro Malaysia Holdings Bhd.

Hubungan itu terjalin bermula 2003 hingga 2013, katanya kepada juri seperti dilapor Bloomberg.

Ketika ditanya Rolle, Leissner mengakui pernah membelikan Rohana rumah di London pada 2013, selepas dia diugut untuk didedahkan pembabitannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Rohana begitu marah apabila hubungan kami berakhir dan saya berkahwin dengan Kimora (Lee Simmons).

"Jika saya tidak membelikannya rumah, dia akan mendedahkan kepada pihak berkuasa mengenai skandal saya dalam 1MDB.

"Dia mengugut saya untuk mendedahkan skandal itu pada 2013 dan saya begitu takut," katanya.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Leissner juga memaklumkan dia ada berbincang dengan ketuanya Richard Gnodde mengenai hubungannya bersama Rohana.

Ini kerana ia sesuatu isu yang sensitif memandangkan Goldman menjalin kerjasama perniagaan bersama Astro, kata Leissner.

Dia kemudian diingatkan supaya lebih berhati-hati menjalinkan hubungan dengan pelanggan.

Leissner berkata, dia bagaimanapun terus menjalinkan hubungan untuk tempoh 10 tahun.

"Kebanyakan (orang) di Asia Tenggara mengetahui perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 2:10 PM