KERETA Tesla. FOTO AFP
KERETA Tesla. FOTO AFP
AFP

Washington: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, semalam memaklumkan masalah aplikasi yang menghalang sebahagian pemandu di seluruh dunia daripada menggunakan kereta mereka sedang dipulihkan selepas isu pelayan (server) diselesaikan.

Langkah itu susulan ada pemandu Tesla memuat naik hantaran di media sosial memaklumkan tidak dapat menghidupkan kereta mereka dengan aplikasi telefon.

Ada yang terpaksa menggunakan kad kunci jika bernasib baik untuk membawa kereta bersama.

Musk turut membalas terus kepada pemandu Korea Selatan yang melaporkan menerima mesej mengenai ralat pelayan ketika cuba menghubungkannya dengan Tesla Model 3 miliknya melalui aplikasi pada iPhone miliknya.

"Maaf, kami akan mengambil langkah sepatutnya untuk memastikan perkara ini tidak berulang," ciap Musk.

Bagaimanapun, ramai pemandu sudah memuat naik keluhan berhubung masalah itu di laman sosial mereka.

"Saya terperangkap sejam dari rumah kerana kebiasaannya menggunakan telefon saya untuk menghidupkan kereta," tulis salah seorang pemandu Tesla di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 10:06 AM