GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Wuhan: Seorang anggota misi menyiasat punca wabak Covid-19 Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) ke China mengkritik penyelidik Amerika Syarikat (AS) selepas Jabatan Negara AS meragui ketelusan siasatan badan dunia itu.

Pakar Zoologi Britain, Peter Daszak berkata, ini kerana AS mempunyai matlamat berbeza iaitu mahu Presidennya, Joe Biden, 'harus dilihat lebih kuat berbanding China'.

"Justeru, jangan terlalu bergantung pada maklumat penyelidik AS kerana mereka masih menyebarkan pelbagai berita berunsur politik.

"Walaupun sudah terlepas daripada cengkaman bekas Presiden AS, Donald Trump, AS berterusan membuat kesilapan dalam banyak aspek," katanya menerusi ciapan Twitter selepas misi itu berakhir semalam.

Maklumat berkaitan siasatan itu dikongsikan melalui akaun Twitter peribadi masing-masing, namun maklumat terperinci dan pandangan peribadi diluahkan ketika mereka bersedia untuk meninggalkan negara berkenaan.

Misi WHO ke China berakhir tanpa menemui punca Covid-19 yang setakat ini sudah menjangkiti 107 juta mangsa dan mengorbankan 2.4 juta nyawa di 219 negara di seluruh dunia.

Pakar penyelidik WHO menghadapi tekanan dalam melaksanakan tugas mereka kerana didesak AS supaya bertindak tegas ketika menjalankan siasatan manakala China pula kerap mengingatkan mereka supaya jangan mempolitikkan isu itu.

Daszak, menerusi ciapan Twitter, menyifatkan tugasannya kali ini dipenuhi pelbagai tekanan politik yang memerlukan diplomasi tahap tertinggi.

Beliau juga merujuk kepada Biden sebagai pemimpin yang secara membuta tuli memasuki kancah geopolitik mengenai asal-usul virus Covid-19.

Komen Dasak itu menyentuh mengenai kenyataan Jabatan Negara AS yang berulang kali meragui ketelusan China untuk bekerjasama dengan misi WHO.

Meskipun misi WHO gagal menemui asal-usul Covid-19 itu, pakar penyelidik asing bersetuju ia mungkin berpindah dari kelawar ke spesies haiwan yang tidak diketahui sebelum menjangkiti manusia.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:29 PM