GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

NEW YORK: Bukan saja buat baik berpada-pada, malah makan pun kena berpada-pada.

Satu laporan menyatakan, seorang lelaki yang juga seorang pemburu, maut kerana jangkitan otak virus ala lembu gila selepas dia makan otak tupai yang dibunuhnya.

Laporan LiveScience mengenai kes itu dibentangkan dalam sidang mengenai jangkitan berjangkit.

Ia menyatakan, seorang lelaki berusia 61 tahun dikesan kena penyakit seperti lembu gila atau 'Creutzfeldt-Jakob' selepas makan otak tupai.

Ketika tiba di hospital, keadaannya digambarkan seperti seorang yang mengalami masalah untuk berfikir serta sukar berjalan seperti biasa sebelum meninggal dunia lima bulan selepas disahkan kena jangkitan itu pada 2015.

Penyakit lembu gila akan menyebabkan lubang kecil pada otak sehingga keadaannya menjadi seperti span dan kebanyakan mereka yang dijangkiti biasanya maut setahun selepas jangkitan, kata Institut Kesihatan Kebangsaan.

Antara petanda awal termasuk masalah ingatan, sukar berfikir, melihat dan bergerak sebelum nyanyuk dan maut.

Penyakit 'Creutzfeldt-Jakob' jarang berlaku dan hanya empat kes disahkan di Amerika Syarikat, kata Pusat Kawalan Penyakit (CDC).

Penyakit yang seperti ada persamaan dengan 'Creutzfeldt-Jakob' pula membabitkan 350 kes setahun di Amerika.

Dalam kebanyakan kes, mereka yang terkena jangkitan adalah secara spontan dan bukan diwarisi.

Ada juga kes berpunca daripada secara tidak sengaja dijangkiti dengan makanan yang sudah dijangkiti seperti dalam kes lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 3:57 PM