FOTO hiasan
FOTO hiasan
AFP

San Francisco: Facebook menyekat akaun WhatsApp yang dikaitkan dengan Taliban selepas kumpulan itu menguasai Afghanistan dan menggunakan aplikasi itu untuk urusan pentadbiran pemerintahan.

"Taliban termasuk dalam senarai kumpulan pengganas, mengikut undang-undang Amerika Syarikat (AS). Oleh itu kami menyekat mereka menggunakan perkhidmatan disediakan mengikut dasar Pertubuhan Berbahaya," kata jurucakap Facebook kepada AFP.

Facebook turut menyekat talian hotline WhatsApp yang diwujudkan Taliban untuk menerima aduan mengenai keganasan dan curi, lapor Financial Times.

Jurucakap WhatsApp dalam e-mel kepada AFP berkata, syarikat itu diminta untuk mematuhi sekatan yang dikenakan AS.

"Ia termasuk menyekat akaun yang jelas menunjukkan mereka mewakili secara rasmi kumpulan Taliban. Kami masih menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa AS berhubung situasi di Afghanistan.

"Ia bermaksud kami menutup akaun yang diurus atau mewakili Taliban dan menyekat sebarang bentuk pujian, sokongan dan dukungan kepada kumpulan itu," kata syarikat itu lagi.

Isu ini muncul dengan penyedia platform media sosial menghadapi tekanan untuk menyekat akaun yang digunakan Taliban sejak pengambilalihan kuasa di negara bergolak itu.

Facebook menjelaskan, mereka mengupah kumpulan pakar Afghanistan dari keturunan Dari dan Pashto yang mahir dengan kandungan tempatan untuk mematuhi peraturan ditetapkan AS.

"Pasukan kami memantau situasi yang berlaku. Facebook tidak membuat keputusan yang sekadar berdasarkan status sesuatu kerajaan di mana-mana negara tetapi mengambil kira pandangan komuniti antarabangsa dalam membuat keputusan," kata Facebook.

Menurut Financial Times, Facebook menutup talian WhatsApp Taliban selepas menerima aduan mengenai keganasan dan rampasan kumpulan itu.

Sementara itu, jurucakap Taliban mengkritik tindakan Facebook dan menyifatkan keputusan itu sebagai menyekat kebebasan bersuara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:56 PM