PENUMPANG wanita yang membuat kacau dalam pesawat diikat. FOTO TikTok
PENUMPANG wanita yang membuat kacau dalam pesawat diikat. FOTO TikTok
Agensi

Washington: Padah membuka pintu dari dalam pesawat American Airlines, seorang wanita diikat di kerusi penumpang menggunakan pelekat dan didenda.

Wanita itu menerima hukuman terbabit kerana dakwaan menyerang dan mengganggu tugas kru pesawat ketika pesawat dalam perjalanan dari Dallas ke Charlotte.

Kru terpaksa mengambil tindakan itu bagi meredakan keadaan berikutan penumpang itu bertindak di luar kawalan.

Penumpang wanita itu bakal dikenakan denda terbesar yang pernah dikeluarkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan iaitu AS$81,950 (RM346,976.30).

"Undang-undang persekutuan melarang campur tangan dengan kru pesawat atau menyerang secara fizikal atau mengancam untuk menyerang kru pesawat secara fizikal atau sesiapa sahaja di dalam pesawat," kata agensi itu menerusi portal Mirror.

Pengguna TikTok bernama Mathena yang berada dalam pesawat berkenaan mendakwa, pintu tandas dikunci dan membuktikan ada sesuatu yang berlaku di bahagian hadapan pesawat.

"Masa itu, kira-kira 1.30 pagi dan kami melihat pramugari berlari naik dan turun di lorong, panik, berbisik antara satu sama lain, bercakap di telefon dengan seseorang dan hanya panik dan semua orang okay.

"Pramugari tidak berkata apa-apa dan mendakwa mereka mengunci bilik air secara rawak.

"Ia adalah huru-hara. Tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang sedang berlaku," katanya yang memuat naik video berkenaan ke TikTok sebelum ia tular.

Katanya, juruterbang menggunakan interkom untuk meminta semua orang duduk di tempat duduk mereka sebelum cuba meredakan kebimbangan penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 11:21 AM