GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Washington: Hanya kerana meminta pelanggan memakai pelitup muka, seorang juruwang maut ditembak oleh seorang lelaki di sebuah pasar raya di Georgia, Amerika Syarikat, pada Isnin.

New York Post yang memetik laporan media tempatan melaporkan, dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan turut terkena tembakan.

Kejadian berlaku di Pasar Raya Besar Big Bear di DeKalb.

Ketika itu, juruwang itu meminta Victor Tucker Jr, 30, untuk memakai pelitup muka, lapor akhbar Atlanta Journal-Constitution dan Biro Penyiasatan Georgia (GBI).

Namun, Tucker menolak permintaan juruwang itu dan mereka bertengkar, sebelum lelaki itu meninggalkan kedai tanpa membuat pembelian.

Pihak berkuasa berkata, suspek kemudian kembali ke dalam premis berkenaan sebelum menembak kepala juruwang itu.

Mangsa yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di Hospital Memorial Grady.

Ketika kejadian, pesara polis simpanan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ, segera masuk dan berbalas tembakan dengan suspek, kata jurucakap polis DeKalb.

Pihak berkuasa berkata, Tucker dan pengawal keselamatan turut terkena tembakan.

Seorang lagi juruwang yang cedera dirawat di tempat kejadian.

Pengawal keselamatan terbabit yang memakai baju kalis peluru ketika kejadian bagaimanapun stabil selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Atlanta.

Susulan kejadian, suspek ditangkap ketika dia cuba merangkak keluar dari pintu depan pasar raya berkenaan.

GBI berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:00 AM