FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


PENGAWAL keselamatan di sebuah bank di Taman Greenwood, Batu Caves, Gombak melepaskan tembakan secara tidak sengaja ketika mengisi peluru senapang jenis ‘shotgun’ hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian 8.15 pagi itu disedari kakitangan bank yang dikejutkan dengan bunyi tembakan.

“Kakitangan bank yang berada di lokasi ketika itu memaklumkan terdengar bunyi letupan sebelum mendapati ada kesan tembakan pada dinding di premis berkenaan.

“Difahamkan pengawal keselamatan warga tempatan berusia 46 tahun itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan ke arah dinding ketika mengisi peluru senjata itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arifai berkata, kakitangan bank kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Batu Caves untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai lesen untuk mengendalikan senjata dan bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat keselamatan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Kami sudah mengambil keterangan lelaki itu untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana cuai melepaskan tembakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 5:16 PM