PETUGAS kesihatan menyediakan dos vaksin Pfizer di pusat vaksinasi di Manila, Filipina. FOTO EPA.
PETUGAS kesihatan menyediakan dos vaksin Pfizer di pusat vaksinasi di Manila, Filipina. FOTO EPA.
Agensi

New York: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Ahad meminta negara kumpulan tujuh (G7) untuk menyumbang lebihan vaksin Covid-19 kepada kemudahan Covax.

Pengarah Eksekutifnya Henrietta Fore berkata, ia bagi membantu Covax selaku badan penyelia yang memastikan keperluan terhadap vaksin dinikmati sama rata oleh negara miskin dan berpendapatan rendah.

Fore dilapor membuat rayuan itu susulan perjumpaan pemimpin G7 pada bulan depan yang dijangka berlangsung di Britain.

Analisis data terkini yang dikeluarkan Airfinity, sebuah fasiliti penyelidikan sains hayat menunjukkan negara G7 dan Kesatuan Eropah boleh menyumbang antara 153 juta dos vaksin jika berkongsi 20 peratus daripada bekalan mereka, untuk Jun, Julai dan Ogos.

Katanya, ia boleh dilakukan sementara negara itu memenuhi komitmen untuk menjayakan vaksinasi terhadap penduduk masing-masing.

"Walaupun sebahagian negara industri G7 mempunyai bekalan lebih besar daripada negara lain, malah ada yang punyai tambahan untuk keperluan domestik, tapi komitmen kolektif segera untuk mengumpulkan bekalan dan berkongsi tanggungjawab dapat mengelak daripada negara rentan menjadi titik wabak berikutnya," katanya dalam kenyataan yang dilapor Xinhua.

Menurutnya, berkongsi vaksin adalah langkah penting dan perlu untuk mengurangkan jurang, sekali gus memastikan semua negara mendapat akses vaksin sama rata.

Krisis di India yang menyaksikan lonjakan kes Covid-19 menyebabkan Covax kekurangan 140 juta dos untuk edaran negara miskin dan berpendapatan rendah pada hujung Mei ini.

Sebanyak 50 juta dos pula mungkin tidak dapat diedar pada Jun.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:43 PM