SEORANG individu di Southfield, Michigan, AS, menerima dos penggalak Covid-19 Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
SEORANG individu di Southfield, Michigan, AS, menerima dos penggalak Covid-19 Pfizer-BioNTech. FOTO AFP
AFP

Paris: Lebih lima bilion vaksin Covid-19 sudah diberikan di seluruh dunia.

Biarpun mengambil masa sekitar 140 hari untuk mendapatkan jumlah satu bilion dos pertama, data menunjukkan jumlah tiga, empat dan lima bilion dos pula mengambil masa antara 26 dan 30 hari saja.

Hampir 40 peratus (1.96 bilion) daripada lima bilion dos diberikan di China, dan India (589 juta) serta Amerika Syarikat (363 juta) yang sekali gus membentuk trio negara yang paling banyak memberikan suntikan.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendahului senarai negara dengan lebih daripada satu juta penduduk dengan jumlah populasi teramai yang sudah menerima vaksin.

UAE memberikan 179 dos untuk setiap 100 penduduk dan ia bermaksud hampir 75 peratus penduduknya sudah divaksin.

Uruguay di kedudukan kedua dengan 154 dos untuk setiap 100 penduduk diikuti Israel (149); Qatar (148); Singapura (147); Bahrain (144); Denmark (143); Chile (140); Kanada (139); Portugal dan Belgium (masing-masing 138); China (136); Sepanyol (134); Ireland (133) dan United Kingdom (132).

Sebilangan besar daripada negara ini sudah melakukan vaksinasi lengkap untuk antara 65 dan 70 peratus daripada jumlah populasinya.

Negara lain seperti UAE, Bahrain, Israel, Uruguay dan Chile pula sudah mula memberikan suntikan dos penggalak untuk meningkatkan imuniti penduduknya.

Perancis, yang akan mula memberikan suntikan dos penggalak mulai pertengahan September, tidak jauh ketinggalan, dengan 126 dos yang disuntik bagi setiap 100 orang dan 62 peratus daripada penduduknya sudah divaksin sepenuhnya.

Rekod itu mengatasi Amerika Syarikat (AS) yang sudah memberikan 110 dos untuk setiap 100 penduduk, dengan 52 peratus penduduknya sudah sepenuhnya divaksin.

Sebilangan besar negara miskin kini sudah mulai melakukan vaksinasi hasil bantuan skim Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).

Negara berpendapatan tinggi (seperti yang ditentukan oleh Bank Dunia) memberikan rata-rata 111 dos setiap 100 penduduk berbanding dengan hanya 2.4 dos di negara berpendapatan rendah.

Suntikan di negara berpendapatan rendah ini meningkat berikutan hasil sumbangan vaksin oleh beberapa negara maju.

Secara purata, 64 dos sudah disuntik setiap 100 penduduk di seluruh dunia, manakala hanya tiga negara masih belum memulakan program vaksinasi iaitu Burundi, Eritrea dan Korea Utara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 11:05 AM