FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Beijing: China merancang untuk memberikan 10 juta dos suntikan vaksin Covid-19 kepada program pengedaran vaksin antarabangsa (COVAX) yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beijing berkata, langkah itu bagi memperbetulkan semula persepsi mengenai peranannya dalam pandemik terbabit.

Program COVAX yang bermatlamat menyediakan dua bilion dos vaksin, iaitu usaha mengumpul dana daripada negara kaya dengan tujuan memastikan negara miskin turut dapat memberikan vaksin kepada pekerja kesihatannya dan warga paling rentan.

Ia adalah berlandaskan kepada kepercayaan bahawa pandemik berkenaan akan terus menjadi ancaman global sekiranya tidak diatasi di seluruh dunia.

Jurucakap kementerian luar, Wang Wenbin berkata, China 'memutuskan untuk memberikan 10 juta dos vaksin kepada COVAX, terutama dalam memenuhi keperluan mendesak negara membangun'.

Katanya, pada bulan lalu, tiga pembuat vaksin China, iaitu Sinopharm, Sinovac dan CanSino, secara rasmi sudah memohon untuk dimasukkan ke dalam senarai bekalan COVAX.

Bagaimanapun, Wenbin tidak menyatakan permohonan itu sudah diluluskan.

Beijing juga sudah menandatangani perjanjian untuk menyediakan berjuta-juta dos dalam apa yang disebut penganalisis sebagai 'diplomasi vaksin' bagi negara miskin.

Sementara itu, China juga meningkatkan kempen vaksin domestiknya menjelang sambutan Tahun Baharu China.

Bagaimanapun, penggunaan vaksin China di luar negara lebih lambat jika dibandingkan dengan suntikan vaksin daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna berikutan kurang maklumat yang diterbitkan mengenai keselamatan atau keberkesanan vaksin China.

Pembuat vaksin China juga mempunyai reputasi yang diragui, selepas skandal dalaman besar-besaran yang membabitkan produk tamat tempoh atau berkualiti rendah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:22 PM