GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) merekodkan kurang 1,000 kematian akibat Covid-19, semalam, pertama kalinya dalam tempoh hampir tiga setengah bulan.

Berdasarkan angka dikeluarkan Universiti Johns Hopkins, 749 korban dilaporkan dalam tempoh 24 jam, iaitu jauh lebih rendah berbanding 4,473 kematian dicatatkan pada 12 Januari lalu.

Angka harian kematian akibat Covid-19 di AS tidak pernah kurang daripada 1,000 sejak 29 November tahun lalu yang melaporkan 822 mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam itu.

Perkembangan terbaru itu menunjukkan serangan wabak terbabit semakin perlahan di AS sejajar pelancaran program vaksinasi sejak Disember tahun lalu.

Hampir 10 peratus daripada populasi AS meliputi kira-kira 31.5 juta penduduk, sudah menerima dua suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna atau satu suntikan vaksin Johnson & Johnson.

Semalam, pihak berkuasa turut mengumumkan individu yang sudah menerima vaksin, boleh berkumpul dalam kelompok kecil di dalam premis tanpa perlu memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, mereka mesti terus mematuhi langkah berjaga-jaga ketika berada bersama individu belum menerima vaksin dan di tempat awam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 8:05 PM