BORIS Johnson. FOTO AFP
BORIS Johnson. FOTO AFP
Agensi

London: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson mengumumkan empat langkah melonggarkan sekatan pergerakan di England, secara berperingkat.

Katanya, rakyat boleh kembali kepada kehidupan normal secara beransur-ansur dengan kejayaan program vaksin.

UK mencatatkan lebih 120,000 kematian iaitu kelima tertinggi di dunia dan mengalami kemerosotan ekonomi paling teruk, dalam tempoh 300 tahun.

Kelonggaran pertama di England membabitkan kanak-kanak dibenarkan kembali ke sekolah dan aktiviti sosial di luar rumah juga diizinkan bermula 8 Mac.

Sekolah dibuka hanya untuk murid yang ibu bapa bekerja sejak 5 Januari, dengan semua murid lain belajar di rumah.

"Keputusan kami dibuat berdasarkan data terbaharu setiap hari dan kami berhati-hati dengan sebarang pendekatan," kata Johnson.

Menteri yang bertanggungjawab atas program pemvaksinan, Nadhim Zahawi mengatakan kelonggaran diberikan secara berperingkat.

Zahawi memberitahu Radio LBC, dua orang daripada rumah berasingan dibenarkan bertemu di luar rumah mulai 8 Mac.

Pada 29 Mac, aktiviti bersosial berkumpulan di luar rumah dibenarkan untuk maksimum enam orang, atau membabitkan individu dari dua isi rumah.

Sukan luar juga dibenarkan untuk disambung semula mulai 29 Mac.

Restoran, pub, gimnasium dan salun pendandan rambut dijangka ditutup sekurang-kurangnya sehingga April.

Malah, keputusan itu turut menyaksikan 10,000 peminat bola sepak dibenarkan menonton perlawanan di stadium.

Scotland, Wales dan Ireland Utara, yang bebas membuat keputusan kesihatan awam juga diharapkan melonggarkan sekatan pergerakan dalam beberapa bulan akan datang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:31 AM