VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP
VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Suntikan penggalak Moderna atau Pfizer lebih berkesan kepada mereka yang disuntik vaksin Johnson & Johnson.

Ia dapatan awal satu kajian di Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada Rabu.

Kajian yang dibiayai Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), ditunggu-tunggu di AS, untuk melihat keberkesanan vaksin campuran menggunakan vaksin berbeza daripada dos awal untuk suntikan penggalak yang pada masa ini tidak dibenarkan di negara itu.

Kajian itu dilakukan ke atas 458 dewasa yang sudah divaksin dengan satu daripada tiga jenama vaksin diluluskan AS sama ada Pfizer, Moderna atau Johnson & Johnson untuk sekurang-kurangnya 12 minggu.

Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan baharu untuk menerima salah satu vaksin yang tersedia sebagai penggalak.

Sembilan kumpulan itu terdiri daripada kira-kira 50 orang.

Penyelidik kemudian menganalisis tahap antibodi dalam tempoh 15 hari selepas menerima suntikan penggalak.

Dapatan kajian menunjukkan, individu yang disuntik dengan Johnson & Johnson, tahap antibodi mereka empat kali lebih tinggi selepas menerima suntikan penggalak jenama sama.

Namun, ia 35 kali lebih tinggi selepas penggalak Pfizer dan 76 kali lebih tinggi berbanding penggalak Moderna.

Menurut kajian itu, tahap antibodi bagi mereka yang awalnya menerima suntikan Moderna lebih tinggi, tanpa mengambil kira vaksin penggalak diberikan kepada mereka, berbanding individu yang pada awalnya menerima Pfizer atau Johnson & Johnson.

Selain itu, kajian mendapati tidak ada isu keselamatan yang dikenal pasti selepas dos penggalak diberikan.

Bagaimanapun, kajian itu belum melalui kajian semula setara (peer review) mempunyai beberapa batasan.

Ia termasuk bilangan responden sangat kecil dan tindak balas imun sepatutnya meningkat dari semasa ke semasa berbanding 15 hari tempoh pemerhatian dalam kajian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 9:39 AM