FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
AFP

Washington: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) sedang melakukan persediaan untuk membenarkan campuran vaksin Covid-19.

Memetik sumber terdekat, New York Times berkata, FDA dijangka membuat pengumuman mengenai perkara berkenaan esok di mana ia juga akan mengumumkan kebenaran penggunaan dos penggalak dari Moderna dan Johnson & Johnson.

Berdasarkan kajian awal yang diterbitkan AS minggu lalu, individu yang menerima vaksin Johnson & Johnson akan menerima dos penggalak yang berbeza sama ada dari Pfizer atau Moderna.

Namun, berdasarkan beberapa laporan, FDA mencadangkan penggunaan vaksin dari pengeluar sama, sekiranya ia boleh dilaksanakan.

"Orang ramai sepatutnya mendapat vaksin yang sama sebagaimana yang diperoleh sebelum ini," kata seorang pegawai kepada Washington Post.

"Dari perspektif kesihatan awam, terdapat keperluan dalam situasi tertentu untuk individu menerima vaksin berbeza," kata Amanda Cohn, pegawai tertinggi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit kepada New York Times.

Di AS, individu berusia lebih 65 tahun atau yang berisiko tinggi serta mereka yang bekerja dalam sektor mudah terdedah dengan virus berkenaan, layak untuk mendapatkan suntikan penggalak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 8:17 PM