SEJUMLAH tentera berkawal ketika memindahkan ketua penjenayah, Jose Adolfo Macias Villamar atau Fito ke pusat tahanan berkeselamatan tinggi. FOTO Reuters.
SEJUMLAH tentera berkawal ketika memindahkan ketua penjenayah, Jose Adolfo Macias Villamar atau Fito ke pusat tahanan berkeselamatan tinggi. FOTO Reuters.
Agensi

Quito, Ecuador: Ribuan tentera dan polis dikerah kerajaan Ecuador, dalam operasi memindahkan seorang ketua kumpulan penjenayah terkenal ke penjara keselamatan tahap tinggi.

Jose Adolfo Macias, dikenali sebagai Fito dituduh melakukan ugutan bunuh terhadap Fernando Villavicencio iaitu calon presiden Ecuador yang mati dibunuh, Rabu lalu.

Enam warga Colombia turut ditangkap selepas dikaitkan dengan pembunuhan itu, manakala suspek ketujuh terbunuh dalam kejadian berbalas tembak.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan siapa yang mengupah dan membayar pembunuh upahan untuk melakukan pembunuhan itu.

Fito ditahan di Penjara 8 di Guayaquil sejak 2011 dan video dikongsi pasukan keselamatan menunjukkan dia digari dan dikawal rapi ketika dipindahkan ke fasiliti keselamatan lain.

Presiden Ecuador, Guillermo Lasso berkata, Fito dipindahkan ke La Roca, penjara keselamatan maksimum yang turut menempatkan 150 tahanan berisiko.

Villavicencio yang juga pejuang anti-rasuah mati ditembak tiga kali di kepala ketika sedang berkempen 9 Ogos lalu, kurang dua minggu sebelum pilihan raya.

Sebelum kematiannya, Villavicencio dilapor berkata, pernah diugut Fito.

"Jika saya teruskan... menyebut Los Choneros (geng itu), mereka akan membunuh saya," katanya.

Kematiannya mengejutkan negara yang sebahagiannya terlepas daripada keganasan kumpulan dadah selama berdekad, perang kartel dan rasuah yang turut menjejaskan banyak negara jirannya.

Bagaimanapun, jenayah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini didorong oleh pertumbuhan kartel dadah Colombia dan Mexico.

Ahad lalu, parti Construye mengumumkan seorang lagi wartawan, Christian Zurita akan menggantikan tempat Villavicencio sebagai calon presidennya.

Pengumuman itu lanjutan daripada keputusan pada Sabtu selepas parti itu menamakan pasangan ahli politik terbunuh, Andrea Gonzalez sebagai pengganti.

Balu Villavicencio, Veronica Sarauz berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kematian suaminya, malah dia juga tidak berpuas hati Gonzalez dinamakan sebagai pengganti tempat suaminya.

Kempen Villavicencio lebih tertumpu kepada rasuah dan dadah, dengan beliau satu-satunya calon yang didakwa ada kaitan dengan jenayah terancang dan pegawai kerajaan Ecuador.

Sehari sebelum pembunuhannya, beliau membuat aduan di Pejabat Pendakwa Raya mengenai dakwaan penyelewengan dalam rundingan kontrak minyak semasa pentadbiran bekas Presiden Rafael Correa, yang menyebabkan negara itu kerugian AS$9 bilion (RM41.5 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 2:41 PM