BRIGITTE Garcia. FOTO X
BRIGITTE Garcia. FOTO X
AFP

Quito: Seorang datuk bandar di Ecuador ditemukan mati ditembak pada Ahad, ketika perintah darurat di negara Amerika Selatan itu memasuki bulan ketiga.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan perintah darurat untuk membanteras keganasan kumpulan kongsi gelap yang semakin meningkat.

Datuk Bandar San Vicente, Brigitte Garcia, 27, ditemukan mati bersama pengarah komunikasi perbandaran itu, Jairo Loor.

Pada awal pagi "dua orang sudah dikenal pasti di dalam kenderaan tanpa tanda-tanda vital, dengan luka tembakan," kata Polis Ecuador di X.

Kenyataan itu menambah, tembakan dipercayai bukan dilepaskan dari luar kenderaan tetapi dari dalam. Penyiasat masih menganalisis laluan dilalui kereta itu.

Kenderaan itu didapati kereta sewa.

Pada Januari, Presiden Ecuador, Presiden Daniel Noboa mengenakan perintah darurat dan mengisytiharkan negara itu dalam 'keadaan perang' terhadap kumpulan samseng selepas gelombang keganasan susulan pemimpin kumpulan 'Los Choneros' iaitu Adolfo 'Fito' Macias yang melarikan diri dari penjara.

Sejak itu, tentera ditempatkan di jalanan dan mengawal penjara negara itu, yang mana rentetan rusuhan kumpulan dalam beberapa tahun kebelakangan ini sudah menyebabkan kira-kira 460 orang terbunuh.

Kerajaan mendakwa bahawa apa yang dipanggil 'Phoenix Plan' berjaya mengurangkan keganasan yang semakin meningkat di negara itu.

Pasukan keselamatan sudah melakukan kira-kira 165,000 operasi, membuat lebih 12,000 tangkapan, membunuh 15 orang yang dianggap sebagai 'pengganas' dan merampas kira-kira 65 tan dadah sejak Januari, menurut angka rasmi.

Tetapi beberapa episod ganas dilaporkan pada hujung minggu, termasuk serangan hendap terhadap tentera di Sucumbios, wilayah di sempadan Colombia. Seorang askar terbunuh dan tiga lagi cedera dalam kejadian itu.

Di bandar Latacunga di Andes, ancaman bom mendorong polis untuk mengosongkan stadium ketika permainan kejohanan bola sepak profesional.

Selepas pemeriksaan dengan bantuan anjing pengesan, pihak berkuasa menemukan beg pakaian di tempat letak kereta stadium yang mengandungi lima bahan letupan, yang kemudiannya diletupkan secara terkawal, menurut laporan polis.

Ecuador terjerumus ke dalam krisis selepas kartel transnasional semakin berkembang dengan menggunakan pelabuhannya untuk menghantar dadah ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:16 PM