AFP

Abuja: Lebih 100 individu maut akibat lemas di utara tengah Nigeria selepas bot dinaiki ketika pulang dari majlis perkahwinan, karam di sungai, kata polis dan pihak berkuasa tempatan.

Butiran lanjut mengenai insiden di Kwara itu, masih dikemas kini.

Kejadian bot karam di Nigeria perkara biasa disebabkan oleh muatan berlebihan, prosedur keselamatan yang longgar dan banjir besar pada musim hujan.

Bot itu dilaporkan sedang membawa sekumpulan penumpang dari majlis perkahwinan sebelum ia karam, kata polis tempatan dan pejabat gabenor, tanpa memberikan butiran punca kejadian.

"Setakat ini, dilaporkan 103 mangsa meninggal dunia dan lebih 100 diselamatkan.

"Pencarian dan kerja menyelamat masih diteruskan yang bermakna jumlah kematian mungkin meningkat," kata jurucakap polis Kwara, Okasanmi Ajayi.

Pejabat gabenor Kwara tidak memberikan butiran kes tetapi memaklumkan mangsa terbabit dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan ke daerah Patigi Kwara.

"Gabenor menzahirkan ucapan takziah kepada mereka yang terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, 15 kanak-kanak lemas dan 25 yang lain hilang selepas bot yang sarat muatan terbalik di barat laut negeri Sokoto, ketika mangsa dalam perjalanan untuk mengutip kayu api.

Hampir setahun sebelum itu, 29 lagi kanak-kanak dari kampung berhampiran turut lemas di sungai sama, ketika mereka dalam perjalanan untuk mengutip kayu api untuk keluarga.

Selain itu, sekurang-kurangnya 76 individu lemas apabila bot mereka karam di sungai, dekat tenggara Anambra, sewaktu banjir besar pada musim hujan pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 9:56 AM