TANGKAP layar perbualan WhatsApp wanita itu dan jurugambar. FOTO Agensi
TANGKAP layar perbualan WhatsApp wanita itu dan jurugambar. FOTO Agensi
Agensi

Cape Town: Menuntut bayaran foto perkahwinan dengan alasan sudah berpisah dengan suaminya.

Itu permintaan pelik seorang wanita Afrika Selatan terhadap jurugambar perkahwinannya selepas empat tahun hari bahagiannya itu.

Dalam tangkap layar perbualan WhatsApp antara wanita dan jurugambar itu, wanita itu bertanyakan sama ada jurugambar itu mengingati dia pernah merakam gambar perkahwinannya di Durban, pada 2019.

"Nah, saya sekarang sudah bercerai dan saya tak perlukan lagi gambar saya dan bekas suami.

"Anda sudah membuat kerja dengan baik tetapi sia-sia kerana kami kini bercerai.

"Saya mahukan semula bayaran yang sudah kami buat dulu kerana kami tidak perlukan lagi gambar ini," katanya.

Jurugambar itu, Lance Romeo yang berkongsi tangkap layar perbualannya dengan wanita itu di Twitter, baru-baru ini berkata, pada mulanya dia menyangka wanita itu hanya bergurau.

"Saya akhirnya menyedari rupanya memang dia serius dengan permintaannya termasuk mahu mengupah peguam.

"Dia mahu saya pulangkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah bayaran.

"Tetapi, saya terpaksa menolak permintaan luar biasa wanita itu kerana ia tidak masuk akal," katanya.

Perkongsian perbualan WhatsApp itu tular dan menjadi bualan hingga meraih lebih 38,000 tanda suka di Twitter.

Malah, bekas suami wanita berkenaan turut menghubungi jurugambar itu dan memohon maaf bagi pihak bekas isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 10:41 AM