ULA Faris.
ULA Faris.

Riyadh: Seorang lelaki Sudan menawarkan 100 ekor unta untuk melamar seorang pengacara televisyen muda warga Jordan.

Abu Al Tayeb Othman berkata, dia menyimpan wang untuk membeli beberapa haiwan itu dan menternaknya sejak 10 tahun lalu bagi memenuhi impiannya untuk berkahwin dengan Ula Faris, antara penyiar televisyen paling cantik di Syarikat Penyiaran Timur Tengah (MBC), stesen televisyen milik Arab Saudi.

Akhbar Saudi ‘Sada’ melaporkan, Abu Al Tayeb datang ke pejabat akhbar itu di Riyadh kelmarin dan meminta untuk menyiarkan lamarannya itu.

“Menurutnya, dia kini sudah mempunyai wang secukupnya untuk membeli lebih banyak unta. Dia sudah memiliki 100 ekor haiwan itu dan akan menyerahkannya kepada Ula Faris sebagai penghantaran perkahwinan jika penyiar itu menerima lamarannya. Dia menanti jawapan Ula,” lapor akhbar itu.

Menurut laporan itu, Abu Al Tayeb berhenti bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan di Arab Saudi untuk pulang ke Sudan bagi menjaga unta itu.

Akhbar itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai reaksi Ula.

Ula memulakan kariernya di Jordan ketika berusia 17 tahun. Dia pernah bekerja dengan saluran televisyen satelit Alarabiya sebelum menyertai MBC. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 7:24 AM