Tinjauan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Tinjauan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd. Salleh

Berdepan saat yang memerlukan kita membuat perhitungan besar dalam kehidupan adalah sangat mencabar. Apatah lagi apabila sesuatu keputusan yang dibuat berkaitan dengan seseorang yang disayangi. Begitulah kisah yang telah berlaku kepada Nabi Ibrahim (AS) bersama anaknya Ismail (AS). Sesungguhnya pengorbanan yang tidak berbelah bahagi antara keimanan kepada Allah SWT dan perasaan kasih dan sayang kepada seorang anak tidak menghalang daripada baginda menunaikan perintah Allah SWT. Itulah nilai takwa seorang hamba kepada Allah.

Peristiwa ini diabadikan di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar." (Surah al-Saffat, ayat 102)

Sunah ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan yang dilaksanakan umat Islam pada hari ini adalah mengambil iktibar daripada kisah pengorbanan mereka berdua. Bahkan, Rasulullah SAW sangat menganjurkan agar umat Islam yang berkemampuan supaya menunaikan ibadah korban sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki kelapangan (kemampuan) dan tidak melakukan ibadah korban maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Rentetan daripada itu, kita dapati Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan ibadah korban. Bukan setakat berkorban, malah baginda Rasulullah SAW menyembelih sendiri haiwan korban sebagaimana berlaku pada tahun ke-10 hijrah ketika menunaikan haji Wada'. Jabir (RA) meriwayatkan: "Badanah (haiwan sembelihan daripada jenis lembu atau unta) yang disembelih oleh Rasulullah SAW berjumlah 100 ekor, baginda menyembelih 63 ekor daripadanya dan Ali Bin Abi Talib menyembelih selebihnya. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar setiap ekor badanah (haiwan sembelihan daripada jenis lembu atau unta) dibahagi kepada tujuh bahagian." (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam mengambil iktibar peristiwa korban, bukan sahaja kita menelusuri kisah Nabi Ibrahim (AS) bersama anaknya. Sememangnya kita telah dikurniakan Allah SWT dengan rezeki melimpah. Termasuk yang tidak berkemampuan juga sebenarnya mendapat limpahan rezeki walaupun tanpa dirasa mewah atau kadar yang banyak. Kita sahaja yang tidak menghitung nikmat Allah kerana terlampau banyak hingga tidak terkira. Allah SWT berfirman: "Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya." (Surah Ibrahim, ayat 34)

Sempena Aidiladha, umat Islam disunatkan menyembelih binatang korban sebagai salah satu cara mengagungkan Allah SWT di atas nikmat-Nya. Di samping beberapa ibadah lain yang dianjurkan sepanjang sepuluh awal bulan Zulhijjah. Antara matlamat terbesar adalah merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT sebagaimana firmanNya: "Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya." (Surah al-Hajj, ayat 37)

Bukanlah dengan semata-mata mengeluarkan wang untuk kos seekor binatang atau sebahagian binatang korban itu yang menjadi tuntutan utama. Malah, bukan juga sekadar menyertai orang lain yang sama-sama menunaikan ibadah korban sudah cukup untuk mencapai nilai takwa di sisi Allah SWT. Pastinya ia memerlukan keikhlasan tinggi dan keyakinan padu terhadap Allah SWT yang mengurniakan rezeki. Bukan semua orang mampu mengorbankan sedikit harta untuk dikongsikan dengan orang lain. Oleh itu, terdapat ramai yang menyertai ibadah korban tetapi dengan tujuan 'makan daging' semata-mata. Maka, daging yang diperolehi digunakan untuk jamuan keluarga dan disimpan sahaja.

Adapun kaedah ataupun cara yang lebih baik sebagaimana dilaksanakan oleh Rasulullah SAW iaitu mengambil sebahagian kecil untuk diri sendiri dan disedekahkan yang selebihnya (sebahagian besarnya). Perkara ini dapat difahami daripada kisah Rasulullah SAW apabila menyembelih binatang korban. Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih bakinya. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan sunah ini, sebaiknyalah kita cuba untuk menghayati erti sebenar daripada ibadah korban. Sudah pasti tuntutan yang besar seperti ini ada hikmahnya. Antaranya ialah supaya umat Islam pada Hari Raya Aidiladha dapat merasakan kemeriahan yang sama. Orang yang berkemampuan dapat menyumbangkan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Begitu juga sesama mereka yang berada boleh saling memberikan hadiah daripada daging korban untuk menguatkan lagi silaturrahim.

Tegasnya, nilai takwa itulah yang menjadi sasaran utama untuk dicapai daripada ibadah korban. Mungkin bagi sesetengah orang tidak menjadi cabaran besar untuk mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyembelih haiwan korban, tetapi nawaitu yang benar-benar ikhlas dan tujuan untuk mendapat ganjaran yang terbaik di sisi Allah itulah yang menjadi matlamat sebenar.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 6:15 AM