Dr Zambry Abd Kadir
Dr Zambry Abd Kadir
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Luar (KLN) sudah mengatur urus persiapan awal perjalanan Perdana Menteri ke Arab Saudi secara profesional dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan isu itu dimainkan secara negatif oleh kelompok tertentu dan tindakan terbabit jelas tidak adil kepada KLN, kerajaan dan juga kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, ini kerana perkara yang dibangkitkan lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar berhubung lawatan itu.

Katanya, Wisma Putra menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi bertarikh 21 Mac lalu yang mengesahkan tarikh lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi.

"Nota Diplomatik yang serupa turut diterima pada tarikh yang sama oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada kerajaan Arab Saudi.

"Kedua-dua Nota Diplomatik itu merujuk kepada lawatan Perdana Menteri pada 22 hingga 25 Mac termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

"Kedua-dua Nota Diplomatik jelas menyatakan kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah Al-Munawwarah.

"Nota Diplomatik adalah antara komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan program Perdana Menteri berjalan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Abdulaziz, Jeddah pada 22 Mac lalu.

"Delegasi Malaysia telah diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan liputan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court).

"Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri, begitu juga ziarah di Madinah," katanya

Menurutnya, delegasi Malaysia menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Arab Saudi.

"Bagaimanapun delegasi Malaysia telah menjelaskan secara baik bahawa permintaan itu tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen Perdana Menteri yang ditetapkan awal sebelum lawatan.

"Ini termasuk Majlis Iftar bersama Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Istana Negara pada 25 Mac dan lawatan ke Kemboja pada 27 Mac," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perjalanan dan hasil lawatan menggambarkan kepentingan hubungan diplomatik dan kerjasama di antara Malaysia dan Arab Saudi yang dianggap rakan strategik.

"Dalam konteks ini, KLN menegaskan bahawa polemik serta tanggapan tidak berasas oleh sesetengah pihak di Malaysia atas kepentingan politik sempit.

"Ia tidak akan membantu dalam usaha KLN memartabatkan diplomasi Malaysia ke arah pengukuhan hubungan dan kerjasama dengan negara sahabat di seluruh dunia baik di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 4:48 PM