ORANG ramai yang makan di gerai di Singapura mengamalkan penjarakan sosial untuk mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP.
ORANG ramai yang makan di gerai di Singapura mengamalkan penjarakan sosial untuk mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP.
BERNAMA

Singapura: Republik ini mengesahkan 218 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu dengan hanya dua kes dalam komuniti membabitkan pemegang pas kerja.

Dengan jumlah jangkitan yang terbaharu itu menjadikan jumlah kes Covid-19 kini ialah 41,833 kes.

Dalam data ringkas tengah hari yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan tiada kes membabitkan rakyat Singapura atau penduduk tetap republik ini.

Majoriti kes masih membabitkan pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama pekerja asing, demikian menurut kementerian itu.

Data penuh yang disiarkan lewat Jumaat mengklasifikasi kes Covid-19 di Singapura membabitkan 1,811 sebagai kes komuniti, 581 kes import dan 39,223 pekerja asing di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 33,459 atau kira-kira 83 peratus pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.

Terdapat 212 kes yang disahkan di hospital pada Jumaat, dengan dua dalam keadaan kritikal di unit penjagaan rapi, menurut kementerian itu.

Ia menambah bahawa 7,918 kes mempunyai simptom sederhana atau secara klinikal sihat tetapi ujian masih menunjukkan positif Covid-19 diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini, 26 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

Terdapat dua kluster baharu yang dikenal pasti pada Jumaat iaitu membabitkan asrama di 10 Kaki Bukit Road; dan 6 Kian Teck Crescent.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 4:19 PM