Petugas kesihatan melakukan sanitasi di kem Wavel yang menempatkan pelarian Palestin. FOTO AFP
Petugas kesihatan melakukan sanitasi di kem Wavel yang menempatkan pelarian Palestin. FOTO AFP
AFP

Beirut: Satu kem pelarian Palestin di Lubnan diarahkan menjalani perintah berkurung selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan satu kes jangkitan Covid-19.

Mangsa, seorang wanita pelarian Palestin dari Syria dibawa ke Hospital Rafic Hariri di sini, lapor UNRWA, agensi di bawah PBB yang mengendalikan pelarian Palestin.

Pakar perubatan telah membuat kunjungan ke kem Wavel yang terletak di timur Sungai Bekaa bagi menjalankan ujian.

Ujian itu bagi mengenalpasti ahli keluarga wanita berkenaan dan individu yang mempunyai kontak dengannya selain 50 individu lain yang dipilih dari sekitar kem.

Sehingga kini Lubnan melaporkan 682 kes jangkitan Covid-19 dengan 22 kematian.

PBB dan beberapa kumpulan menyelamat pernah memberi amaran bahawa kem pelarian dan migran yang padat serta sesak di seluruh dunia menanggung risiko tinggi bagi Covid-19.

Berdasarkan data PBB, lebih 70 juta individu di seluruh dunia dipaksa meninggalkan negara masing-masing akibat konflik dan keganasan, termasuk lebih 20 juta hidup sebagai pelarian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 9:02 PM