POLIS Qatar berdiri di hadapan hotel di Doha dan pelancong memakai penutup hidung dan mulut berikutan kebimbangan koronavirus. FOTO AFP.
POLIS Qatar berdiri di hadapan hotel di Doha dan pelancong memakai penutup hidung dan mulut berikutan kebimbangan koronavirus. FOTO AFP.
Reuters

Kaherah: Arab Saudi menggantung semua penerbangan antarabangsa selama dua minggu bermula esok.

Sumber Kementerian Dalam Negerinya berkata, langkah itu diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tempoh ini boleh dianggap sebagai percutian rasmi yang luar biasa untuk rakyat dan penduduk yang tidak dapat kembali kerana penggantungan penerbangan ini.

“Atau jika mereka menjalani kuarantin selepas kembali ke negara ini,” kata sumber itu kepada agensi berita SPA.

Hingga kini, Arab Saudi merekodkan 86 kes Covid-19.

Sementara itu, Guatemala meluaskan sekatan perjalanan dengan melarang kemasukan pelawat dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada berkuat kuasa Isnin.

Presiden Alejandro Giammattei berkata, tiada kapal persiaran akan dibenarkan berlabuh, namun buat masa ini aktiviti membabitkan orang awam dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

“Kami mengumumkan sesiapa yang tiba dari Kanada dan AS antara sekarang sehingga Isnin akan dikuarantin,” katanya menerusi saluran stesen televisyen tempatan.

Beliau turut meminta kerajaan Mexico menyekat kemasukan pendatang ke Guatemala.

Awal minggu ini, Guatemala mengenakan sekatan kemasukan pelawat dari negara Eropah, China, Iran, Korea Selatan dan Korea Utara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 3:52 PM