BENNETT
BENNETT
Agensi

London: Seorang anggota paramedik dipenjara 18 bulan atas kesalahan mencuri ambulans untuk pulang ke rumah selepas mabuk di kelab malam.

Daily Mail melaporkan, Ian Bennett, 48, melakukannya dengan cara membuat panggilan palsu seterusnya berpura-pura mahu mendapatkan bantuan kecemasan kerana mengalami serangan jantung.

Sebaik pemandu ambulans tiba, Bennett terus menyelinap masuk dalam kenderaan berkenaan sebelum memandu dalam keadaan mabuk.

Bennett memandu dari bandar Chester City ke kawasan berhampiran rumahnya di Runcorn dengan jarak sejauh 23 kilometer (km) dan meninggalkan ambulans berkenaan di tepi jalan utama yang sibuk.

Polis menemui ambulans berkenaan beberapa jam kemudian dan mengenal pasti Bennett sebagai suspek berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Tindakan Bennett menyebabkan majikannya membelanjakan 3,000 Pound Sterling (kira-kira RM15,936) untuk membaiki ambulans yang ditinggalkan selama dua minggu.

Hakim, Simon Berkson berkata, tindakan Bennett membuat panggilan palsu dan memandu ambulans dalam keadaan mabuk, membahayakan nyawanya.

“Kamu melarikan ambulans berkenaan secara melulu dan tindakan itu adalah keterlaluan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 10:13 AM