CARVEL Bennett. FOTO Agensi
CARVEL Bennett. FOTO Agensi
AFP

London: Mahkamah Britain menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun hampir sedekad lalu.

Ia berdasarkan bukti DNA yang diperoleh dari anak yang lahir dari kanak-kanak yang dirogol itu.

Mahkamah Birmingham Crown menjatuhkan hukuman itu terhadap Carvel Bennett, 74, yang didapati bersalah merogol kanak-kanak itu sehingga dia mengandung.

Mangsa ketika itu menyerahkan anaknya untuk dijadikan anak angkat.

Bagaimanapun anak itu pada usia 18 tahun akhirnya mengetahui kejadian sebenar dan memutuskan untuk menuntut keadilan buat ibunya.

Mengemukakan bukti DNA, nyata menunjukkan Bennett adalah bapanya.

Bennett akhirnya mengaku melakukan hubungan intim dengan mangsa bagaimanapun mendakwa ditipu oleh kanak-kanak itu yang kononnya mengaku berusia 16 tahun ketika itu.

Hakim Martin Hurst mengatakan Bennett hanya menyalahkan mangsa.

Beliau turut memuji mangsa dan anaknya yang berjuang mendapatkan keadilan walaupun banyak 'pintu tertutup' pada mulanya dan terpaksa melalui trauma.

Dalam pernyataan yang dibacakan di mahkamah, mangsa memberitahu mahkamah bagaimana dia merasa keadaan itu sendirian dan orang ramai menghinanya kerana hamil di usia kanak-kanak.

Polis di West Midlands berkata anggota ada bercakap dengan mangsa bagaimanapun ketika itu wanita itu tidak mahu membuat sebarang aduan ketika itu atau ketika ditemukan semula pada 2014.

Bagaimanapun mangsa menukar fikiran pada 2019 dan siasatan membawa kepada penahanan Bennett pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 11:12 AM