LE Mesurier
LE Mesurier
AFP

ISTANBUL: Pengasas kumpulan yang menubuhkan kumpulan penyelamat White Helmet Syria ditemui mati di luar kediamannya di Istanbul.

Mayat James Le Mesurier ditemui dengan kesan retakan pada kaki serta kepala di luar bangunan apartmen dihuninya, kelmarin, kata polis dalam satu kenyataan.

Le Mesurier bekas pegawai tentera Britain yang mengasaskan badan pengurusan kecemasan, Mayday Rescue, yang membantu melatih White Helmets, kumpulan sukarelawan mencari dan menyelamat yang ditubuhkan untuk bertindak balas terhadap pengeboman oleh kerajaan Syria di wilayah dikawal penentang di negara itu.

Menurut polis, Le Mesurier mendapat rawatan bagi tekanan baru-baru ini, malah mengambil pil tidur serta antimurung.

Dia pulang ke rumah pada lewat Ahad dan terus masuk tidur. Isterinya dikejutkan daripada tidur pada pagi Isnin selepas polis menghubunginya memaklumkan Le Mesurier ditemui mati di luar bangunan berkenaan.

Kerajaan Istanbul mengesahkan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, White Helmets, yang secara rasmi dikenali sebagai Pertahanan Awam Syria, menyuarakan rasa sedih dan terkejut di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:15 AM