Mun Keong (kiri) bersama Michael menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas menjadi mangsa penipuan di Johor Bahru hari ini. Foto Omar Ahmad
Mun Keong (kiri) bersama Michael menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas menjadi mangsa penipuan di Johor Bahru hari ini. Foto Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Pelabur mengalami kerugian RM22,400 selepas diperdaya dengan 'wanita' yang dikenali di Facebook kira-kira dua bulan lalu.

Sher Mun Keong, 48, berkata, dia mula menyedari ditipu selepas memasukkan sejumlah wang dalam tiga transaksi pada September tahun lalu ke akaun saham milik 'wanita' terbabit.

Menurutnya, di awal perkenalan mereka, 'wanita' itu meminta beliau menguruskan saham bitcoin miliknya.

"Saya pun tidak pasti sama ada dia adalah wanita atau lelaki. Saya cuma berbalas pesanan menerusi aplikasi WhatsApp sahaja. Apabila saya menghubunginya dia hanya diam tanpa berkata-kata.

"Ketika kami mula berkenalan, dia mencadangkan kepada saya untuk melabur menggunakan akaun saham miliknya dan dalam sebulan lebih dapat untung dalam 30,000 dolar Amerika Syarikat (AS) (kira-kira RM123,243).

"Melabur dalam saham emas, minyak dan bitcoin. Selepas itu, dia meminta saya masukkan duit untuk pelaburan seterusnya.

"Saya masukkan RM22,400 dalam tiga transaksi iaitu RM4,400 pada 22 September tahun lalu, RM18,000 lagi masukkan menerusi dua transaksi berbeza tiga hari kemudian," katanya yang ditemui ketika sidang media di Pejabat Aduan MCA di sini, hari ini.

Menurut Mun Keong, selepas transaksi dibuat, dia menghubungi wanita itu tetapi pannggilannya sudah disekat.

Katanya, dia cuba mengeluarkan wang pelaburan terbabit tetapi tidak berjaya.

"Syarikat saham memberitahu menerusi pesanan emel, jika saya mahu mengeluarkan wang terbabit perlu membayar sebanyak 20,000 dolar AS (kira-kira RM82,160) sebagai cukai kerajaan.

"Saya sudah berkecimpung dalam pelaburan selama 20 tahun. Saya mula berasa tertipu dengan 'wanita' itu dan syarikat pelaburan terbabit.

"Saya kemudiannya menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung cukai terbabit dan dimaklumkan bahawa tiada cukai seperti itu.

"Nasib saya tidak terus membayar seperti yang diminta. Saya mahu masyarakat berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sesiapa dalam hal ini," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seri Alam di sini.

Sementara itu, Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan Michael Tay Chee Boon berkata, seseorang itu kepercayaan tidak boleh diletakkan sepenuhnya terhadap individu lebih-lebih lagi yang baru dikenali.

"Banyak penipuan terjadi, apabila melabur jangan terlalu tamak. Perlu berfikir dahulu sebelum keluarkan wang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 8:46 PM