ANGGOTA keselamatan memeriksa tempat kejadian. - EPA
ANGGOTA keselamatan memeriksa tempat kejadian. - EPA
AFP

Kabul: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 42 cedera dalam serangan terbaru di Kabul semalam dengan rakaman kejadian menunjukkan seorang mangsa cuba melarikan diri sejurus sebelum van yang membawa bom meletup.

Dalam rakaman itu, van berkenaan dilihat memotong barisan kereta yang menunggu memasuki simpang sebelum merempuh penghadang jalan. Seorang lelaki yang berjalan berhampiran cuba melarikan diri tetapi ketika itu letupan berlaku.

Serangan diakui dilaksanakan Taliban itu berlaku di Shash Darak, kawasan dikawal khas berhampiran beberapa kompleks penting termasuk ibu pejabat agensi risikan Afghanistan.

Kementerian pertahanan Romania berkata dalam satu kenyataan, seorang anggotanya maut dalam kejadian itu. Ini kali kedua seorang rakyat negara itu maut minggu ini, selepas kakitangan kedutaannya di Kabul maut dalam serangan Taliban, Isnin lalu.

Jurucakap kementerian dalam negeri Afghanistan, Nasrat Rahimi berkata sekurang-kurangnya 10 orang awam terbunuh manakala 42 yang lain cedera.

Bagaimanapun, pengurus besar Hospital Wazir Akbar Khan, Farid Ahmad Karimi mendakwa mangsa yang maut bukan saja orang awam sebaliknya turut termasuk anggota keselamatan.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata di Twitter, kumpulan militan itu bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan dan bom kereta itu membunuh 12 ‘penyerang asing.’

DUA wanita menangis ketika mencari keluarga yang menjadi mangsa dalam serangan.  - Reuters
DUA wanita menangis ketika mencari keluarga yang menjadi mangsa dalam serangan. - Reuters

Massoud Zazai, pemilik studio gambar di seberang jalan tempat letupan berlaku berkata: “Letupan begitu kuat menyebabkan saya terjatuh kerusi dan keadaan dalam kedai tiba-tiba gelap disebabkan asap dan abu dari tempat kejadian.

“Saya meluru keluar dan melihat tepi jalan dipenuhi puing serta sisa mayat. Saya melihat sekurang-kurangnya lima orang yang parah, seorang mangsa berlumuran darah dan tidak bergerak. Sungguh ngeri.”

Kabul terus diselubungi keganasan walaupun Amerika Syarikat (AS) dan pemberontak mencapai persetujuan yang sepatutnya melihat Pentagon menarik ribuan tenteranya dari Afghanistan dengan beberapa syarat.

Bagaimanapun, ramai yang bimbang ia akan membawa kepada Taliban kembali berkuasa di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 8:00 AM