ORANG ramai mengalihkan motosikal yang rentung dari lokasi kejadian. - Reuters
ORANG ramai mengalihkan motosikal yang rentung dari lokasi kejadian. - Reuters
BOMBA memadam kebakaran lori tangki yang meletup selepas terbabas yang turut membunuh puluhan orang di Morogoro. - Reuters
BOMBA memadam kebakaran lori tangki yang meletup selepas terbabas yang turut membunuh puluhan orang di Morogoro. - Reuters
Agensi

Morogoro (Tanzania): Seramai 69 orang terbunuh ketika cuba mencuri minyak daripada lori tangki minyak terbabas sebelum kenderaan itu meletup dalam kejadian yang menggemparkan Tanzania.

Presiden John Magufuli mengisytiharkan tempoh berkabung hari ini susulan kejadian yang itu turut menyebabkan 39 orang cedera serius, lapor AFP.

Memetik laporan Mail Online, pemandu teksi dan penduduk tempatan berebut mencuri minyak dari lori tangki itu yang terbabas di luar sebuah perkampungan.

Kenderaan itu dilaporkan meletup ketika seorang mangsa cuba mengeluarkan bateri lori, namun ada saksi mendakwa seorang lelaki menghisap rokok sambil mengisi botol dengan minyak.

Ketua Polis, Willbrod Mtfungwa mengesahkan kebanyakan mangsa maut adalah pemandu teksi motosikal dan penduduk.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Parlimen, Jenista Mhagama dipetik AFP berkata, ujian DNA dilakukan untuk mayat yang tidak dapat dikenal pasti dan kerajaan menyediakan keranda serta kubur untuk mangsa.

Bagaimanapun, keluarga masih boleh mengambil mayat orang tersayang mereka untuk melakukan pengebumian sendiri.

Pada masa sama, khidmat kaunseling turut disediakan untuk keluarga mangsa.

Rakaman video memaparkan orang ramai membawa baldi dan botol untuk mengambil minyak yang bocor dari lori tangki itu.

Saksi Daniel Ngogo dipetik Mail Online berkata: “Ramai yang mati, termasuk mereka yang tidak mencuri minyak kerana kawasan ini amat sibuk.

“Api begitu marak dan sukar menyelamatkan mangsa kerana terlalu cepat merebak di sekitar kawasan nahas.”

Kejadian seumpama itu berlaku di Nigeria tengah bulan lalu apabila seramai 45 orang maut dan lebih 100 orang cedera selepas sebuah tangki minyak terbabas.

Jumlah kematian paling teruk akibat kejadian seperti itu membabitkan 292 kematian di timur Demokratik Republik Congo pada Julai 2010 manakala 203 orang maut di Maridi, Sudan pada September 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 7:51 AM