Agensi

RAMAI daripada 139 orang yang rentung akibat letupan lori tangki yang terbalik dekat bandar Ahmedpur Timur di wilayah Punjab, Pakistan, berebut-rebut mahu mengambil hanya sebotol kecil minyak.

Dalam kejadian itu, ramai mangsa membawa botol kosong air mineral dan tidak menghiraukan larangan polis supaya tidak menghampiri lori tangki itu.

Dalam kejadian semalam, sehari sebelum Pakistan menyambut Aidilfitri, lori tangki itu membawa 40,000 liter minyak terbalik ketika dalam perjalanan dari Karachi ke Lahore, dipercayai selepas tayar pecah.

AFP melaporkan, Ketua Polis Wilayah Punjab, Raja Riffat berkata, penduduk berdekatan meluru ke tempat kejadian membawa botol, baldi dan tong bagi mengambil minyak.

"Tiba-tiba tangki minyak itu meletup dan api menyambar orang ramai. Tidak dapat dipastikan bagaimana kebakaran itu bermula," katanya.

Selain mayat hangus bergelimpangan, turut musnah sejumlah besar motosikal milik penduduk yang datang mahu mengambil minyak.

Seorang penduduk, Mohammad Shabbir berkata, pemandu lori tangki itu menjerit melarang orang ramai datang hampir namun tidak diendahkan.

"Kini apa guna petrol itu?" katanya.

Jurucakap Polis Trafik Pakistan, Imran Shah berkata, lebih 100 cedera dengan ramai dalam keadaan kritikal.

Menurutnya, 25 mangsa dipindahkan dengan pesawat C-130 tentera ke Lahore, 10 ke Faisalabad dan 54 ke Multan.

Menurutnya, jumlah korban dijangka meningkat dan banyak mayat sukar dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2017 @ 3:03 PM