GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

KANO: Seramai 19 orang maut selepas bas yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbakar ketika pulang dari majlis perkahwinan, dalam kejadian di negeri Jigawa, utara Nigeria.

AFP melaporkan, kemalangan dilaporkan berlaku semalam di sebuah kampung, Gwaram Sabuwa yang terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu negeri itu, Dutse.

Bas terbabit membawa 40 penumpang wanita dan kanak-kanak sebelum tayarnya meletup lalu terbabas.

“Seramai 19 mangsa terbunuh manakala 21 lagi cedera dalam kemalangan ini,” kata jurucakap polis negeri, Abdul Jinjiri.

Kemalangan maut dilaporkan sering berlaku di Nigeria yang berpunca daripada keadaan jalan, kenderaan, memandu secara laju dan cuai.

Pada 13 April lalu, sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala 16 lagi cedera apabila sebuah lori tangki minyak meletup selepas ia terbalik di utara bandar Gombe.

Kira-kira seminggu sebelum itu, satu kemalangan turut meragut 19 nyawa membabitkan sebuah trak di utara negeri Katsina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:14 PM