Keadaan di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Keadaan di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kapar: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas tangki lori petrol yang dikimpal meletup dalam kejadian di Jalan Wawasan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa yang maut adalah warga Bangladesh berusia 30-an, manakala yang cedera warga India juga berusia 30-an.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, warga Bangladesh itu maut di tempat kejadian selepas tercampak dan kepalanya terhantuk di lantai.

Katanya, warga India itu pula melecur di muka dan badan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada aktiviti kimpalan di tangki lori petrol itu yang sudah dikosongkan. Tangki itu mengembang kerana dikimpal sebelum meletup menyebabkan mangsa tercampak.

"Mayat mangsa yang mati diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 2:28 PM