GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
 Agensi

 

RIYADH: Seramai 1,000 jemaah haji Palestin dari keluarga syahid akibat dibunuh rejim Zionis menerima undangan dari pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz untuk menjalankan ibadah haji tahun ini.

Arab News melaporkan, undangan berkenaan adalah sebahagian daripada Program Tamu Haji dan Umrah oleh Penjaga Dua Masjid Suci, khususnya untuk warga Palestin yang ahli keluarganya yang terbunuh akibat serangan Israel.

Meskipun program berkenaan dilaksanakan setiap tahun namun ia bertepatan tahun ini selepas Israel mengurangkan pendapatan cukai Palestin.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, kumpulan 1,000 anggota keluarga syahid itu dibahagi-bahagikan kepada 500 jemaah dari Tebing Barat dan selebihnya dari Semenanjung Gaza.

Pemilihannya pula dilaksanakan komuniti khusus yang dibentuk oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi

Menterinya, Syeikh Abdullatif Al-Sheikh berkata, undangan haji berkenaan sebagai tanda penghargaan Raja Salman kepada mereka yang terkorban demi membela Palestin serta kepada ahli keluarga agar lebih tenang selepas ditinggalkan.

“Kementerian akan segera melaksanakan perintah raja dan mempercepatkan proses perjalanan bagi jemaah haji program khusus ini, melalui kedutaan besarnya di Mesir dan Jordan,” katanya.

Sehingga hari ini, jumlah jemaah dari anggota keluarga syahid Palestin di bawah Program Tamu Raja sudah mencapai 17,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 10:12 PM