SEBAHAGIAN umat Islam yang menyambut Aidilfitiri di Kabul, Afghanistan. FOTO: Reuters
SEBAHAGIAN umat Islam yang menyambut Aidilfitiri di Kabul, Afghanistan. FOTO: Reuters
Agensi

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar negara Afrika menyambut Aidilfitri semalam, bersama negara Teluk dan negara Asia Tengah, termasuk Turkmenistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Afghanistan. Mali menjadi negara pertama menyambut Aidilfitri selepas anak bulan kelihatan di negara itu.

Menurut Africa News, kelmarin, Uganda, Ethiopia, Somalia, Sierra Leone, Republik Kongo, Mesir dan beberapa lagi negara Afrika mengumumkan tarikh Hari Raya Puasa jatuh pada 4 Jun selepas Arab Saudi mengumumkan anak bulan kelihatan pada petang Isnin.

Arab News melaporkan Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan Aidilfitri pada 4 Jun selepas anak bulan kelihatan di negara itu.

Serentak itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta negara Teluk lain mengumumkan Hari Raya Puasa di negara mereka pada 4 Jun, sama seperti Arab Saudi.

Pakistan, India, Qatar, Kuwait dan Oman juga menyambut Aidilfitri semalam. Indonesia, Jepun, Malaysia, Thailand, Pakistan dan Australia mengumumkan Selasa ialah hari terakhir berpuasa dan Aidilfitri disambut pada 5 Jun.

Kedutaan UAE di Bangkok mengeluarkan kenyataan: “Pusat Islam Thailand mengumumkan hari terakhir berpuasa Ramadan ialah Selasa (semalam) dan Rabu, 5 Jun ialah hari pertama Aidilfitri.”

Tarikh Hari Raya Puasa berbeza antara sesebuah negara, kerana ada yang berpandukan anak bulan kelihatan atau tidak atau menggunakan kaedah falak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 3:56 PM