FOTO hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri SaalI
FOTO hiasan. FOTO Mohamad Shahril Badri SaalI
Kembara Mukmin

Hari ini, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, mereka disunatkan berpuasa hari Arafah.

Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan
hambanya pada hari itu dari neraka dari hari ‘Arafah.” (Riwayat Imam Muslim)

Abu Qatadah menceritakan, Nabi SAW ketika ditanya mengenai puasa hari Arafah, Baginda bersabda yang bermaksud: “(Puasa hari itu) dapat menghapuskan dosa tahun lalu dan yang akan datang.” (Riwayat Imam Muslim)

Bagaimanapun, Agensi Berita Kerajaan Arab Saudi melaporkan, Mahkamah Agung Arab Saudi memutuskan tarikh 1 Zulhijjah 1439 Hijrah pada 11 Ogos.

Ia berdasarkan penyaksian anak bulan (rukyah hilal) beberapa saksi di Arab Saudi dan juga berpandukan kriteria kalendar Ummul Qura.

Ini bermakna, Arab Saudi menyambut Aidiladha pada hari ini.

Namun, bagi umat Islam di Malaysia, situasi agak berbeza iaitu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan 1 Zulhijjah 1439 jatuh pada 12 Ogos iaitu sehari lebih lewat dari Arab Saudi.

Bolehkah umat Islam di Malaysia merayakan Aidiladha berpandukan keputusan rukyah anak bulan yang diterima oleh Arab Saudi?

Panel Pakar Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Saadan Man memaklumkan, Malaysia menentukan tarikh Aidiladha berpandukan rukyah dan hisab tempatan.

Menurutnya, bukan semua rukyah anak bulan di sesuatu kawasan atau tempat boleh digunakan pada tempat lain.

“Hadis menjelaskan, kawasan yang berbeza matla’ boleh menentukan tarikh awal bulan yang berbeza berpandukan kelihatan anak bulan di tempat masing-masing.

“Matla’ bermaksud kawasan yang berada pada jangkamasa waktu-waktu terbit dan terbenam matahari yang hampir sama.

“Negara di Asia Tenggara berada di matla’ yang sama. Asia Barat dan benua Amerika berada di matla’ yang berbeza. Bagi kawasan yang berada dalam satu matla’ boleh berpandukan kepada rukyah anak bulan dalam lingkungan matla’ yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, Mazhab Syafii menyokong pendapat itu seperti dinyatakan dalam kitab al-Majmu’, Mugni al-Muhtaj dan Hasyiah ‘Inah al-Talibin.

“Hadis riwayat Muslim yang dikenali sebagai hadis Kuraib boleh dijadikan panduan dalam perbezaan matla’ itu.

“Dalam penentuan awal bulan hijriah, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura menggunakan kaedah hisab dan rukyah yang dikenali sebagai kaedah imkanur rukyah.

“Pada 11 Ogos 2018, kedudukan anak bulan berada di bawah ufuk khususnya di Malaysia.

“Anak bulan dilaporkan tidak kelihatan serta hasil hisab mendapati anak bulan tidak memenuhi syarat kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Dr Saadan berkata, berbeza dengan Arab Saudi, kedudukan anak bulan di negara itu melebihi dua darjah di atas ufuk dengan umur anak bulan adalah enam jam.

“Apabila pihak Arab Saudi melakukan cerapan pada petang 29 Zulkaedah 1439, mereka melaporkan anak bulan kelihatan dan pihak berkuasa di sana menerima kesaksian kenampakan anak bulan berkenaan.

“Arab Saudi juga merujuk kepada kaedah penetapan kalendar Ummul Qura yang mensyaratkan kriteria ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam dan bulan terbenam selepas matahari terbenam.

“Syarat itu jelas dipenuhi dan sebab itu Arab Saudi menetapkan awal Zulhijjah 1439 sehari lebih awal dari rantau ini.

“Walaupun mengikut ilmu astronomi anak bulan amat sukar untuk kelihatan, keputusan dilakukan Arab Saudi berdasarkan kesaksian anak bulan dan kriteria kalendar itu adalah keputusan yang sah dari sudut syarak dan perlu dihormati,” katanya.

Katanya, berhubung puasa sunat hari Arafah pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, bagi umat Islam di Malaysia adalah mengikut tarikh 9 Zulhijjah di Malaysia iaitu pada 21 Ogos.

“Begitu juga dengan ibadat korban pada Aidiladha dan hari-hari tasyrik, semuanya tertakluk kepada tarikh dan waktu tempatan.

“Salah satu implikasi penetapan Aidiladha berdasarkan pengumuman hari wukuf di Arab Saudi akan menyebabkan kecelaruan dalam kalendar Hijri tempatan.

“Ia menyebabkan kalendar Hijri boleh menjadi 28 hari dan 31 hari yang bertentangan dengan prinsip asas kalendar Islam yang menetapkan jumlah hari dalam setiap satu bulan sama ada 29 atau 30 hari seperti dijelaskan dalam banyak hadis Nabi SAW,” katanya.

Beliau berkata, kecelaruan itu pernah berlaku di Malaysia pada 1392H apabila bulan Zulhijjah menjadi 31 hari kerana pada masa itu Malaysia menggunakan kaedah penentuan Aidiladha berdasarkan perisytiharan hari wukuf di Arafah oleh Arab Saudi.

“Sekiranya Malaysia masih menggunakan kaedah sama, analisis data rukyah menunjukkan bulan Zulhijjah di Malaysia akan menyusut kepada 28 hari saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 12:27 PM