POLIS memeriksa sebuah rumah di Jiutepec, lokasi mayat seorang budak lelaki yang ditemui reput di dalam peti sejuk beku. FOTO Agensi
POLIS memeriksa sebuah rumah di Jiutepec, lokasi mayat seorang budak lelaki yang ditemui reput di dalam peti sejuk beku. FOTO Agensi
Agensi

MEXICO CITY: Sepasang suami isteri ditangkap selepas dipercayai memukul anak saudara mereka yang berusia empat tahun hingga mati sebelum membakar mayat mangsa dan menyembunyikan jasad kanak-kanak itu yang reput di dalam peti sejuk beku.

Media tempatan melaporkan, ibu mangsa dilaporkan meninggalkan dua anak lelakinya yang berusia lima dan empat tahun dengan kakaknya serta suami wanita itu, lapor The Mirror.

Pasangan itu yang mempunyai tiga anak pada mulanya memberitahu polis, anak saudaranya yang berusia empat tahun diculik tiga penjenayah ketika ditinggalkan di rumahnya.

Bagaimanapun, abang mangsa yang berusia lima tahun memberitahu neneknya bahawa adiknya dipukul bapa saudaranya yang dikenali sebagai Arturo N hingga menyebabkan telinga dan mulutnya berdarah.

Kanak-kanak itu juga memberitahu pasangan berkenaan membakar mayat adiknya di halaman rumah.

Selepas mendengar pendedahan cucunya itu, nenek mangsa segera membuat laporan polis yang kemudiannya menahan Arturo N dan ibu saudara mangsa, Karina Guadalupe N.

Mangsa dilaporkan hilang dari rumah pasangan itu di Jiutepec, tengah Mexico sejak hujung tahun lalu.

Ketika disoal siasat pasangan itu tidak mengaku bersalah dan enggan mendedahkan di mana mayat mangsa berada.

Namun, seorang jiran pasangan itu memberitahu polis, dia ada memberi satu peti sejuk beku kepada suspek ketika dia pindah rumah.

Polis kemudiannya menemui peti sejuk beku yang berkunci di rumah pasangan berkenaan dan apabila dibuka mereka menemui mayat mangsa yang sudah reput.

Menurut polis, mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat dan pasangan berkenaan bakal didakwa atas tuduhan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:00 AM