POLIS melakukan pemeriksaan di rumah suspek. FOTO Yayasan Ruamkatanyu
POLIS melakukan pemeriksaan di rumah suspek. FOTO Yayasan Ruamkatanyu
Agensi

Bangkok: Polis Thailand mendakwa suami isteri di wilayah Nonthaburi kerana menyembunyikan mayat seorang kanak-kanak di dalam peti sejuk, lapor media tempatan pada 8 Januari.

The Straits Times yang memetik Bangkok Post melaporkan, pasangan dikenali Harnnarong Praiphanom, 31, dan isterinya, Marisa Thong-iam, 25, didakwa gagal melaporkan kematian kanak-kanak itu kepada polis.

Pasangan berkenaan menjaga kanak-kanak berusia dua tahun itu kerana ibu bapa mangsa yang juga rakan Harnnarong, adalah penagih dadah, menurut laman web berita Thai Thaiger dalam laporannya pada 6 Januari lalu.

Pasangan itu pada mulanya mendakwa, mangsa meninggal dunia akibat tercekik beras pulut.

Dakwaan itu disahkan melalui keputusan bedah siasat pada 7 Januari lalu, namun ibu saudara mangsa tidak mempercayainya.

Menurut polis, terdapat banyak kesan lebam pada lengan dan kaki budak itu.

Marisa menceritakan pada 2 Januari lalu, mangsa tidur di sisinya dan pada satu ketika, dia menyedari ada semut merayap ke mata kanak-kanak itu.

Dia juga melihat tangan dan mulut mangsa dipenuhi dengan nasi.

Apabila Harnnarong pulang ke rumah itu tidak lama kemudian, pasangan itu memutuskan untuk memasukkan kanak-kanak itu ke dalam beg kerana mereka takut untuk mendapatkan bantuan, lapor PBS Thai.

Marisa berkata, Harnnarong kemudian meletakkan mayat mangsa di dalam peti sejuk, namun rahsia itu terbongkar apabila nenek suaminya, yang tinggal di rumah sama, memaklumkan polis mengenai bau busuk yang datang dari dalam kediamannya.

Pada 6 Januari lalu, polis menemukan mayat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 10:18 AM