SUSPEK bunuh, Yu Wei Gong (kiri) mengaku tidak bersalah selepas membunuh dan mengerat ibunya yang dimasukkan di dalam peti sejuk. FOTO AP
SUSPEK bunuh, Yu Wei Gong (kiri) mengaku tidak bersalah selepas membunuh dan mengerat ibunya yang dimasukkan di dalam peti sejuk. FOTO AP
Agensi

HAWAII: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah membunuh dan mengerat mayat ibunya yang dimasukkan ke dalam peti sejuk selepas berang dileter supaya ke sekolah.

Yu Wei Gong mengaku salah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, merosakkan mayat dan kecurian identiti ibunya, Liu Yun Gong pada September 2016.

Sementara itu, majikan Liu, Julie Kim memberitahu Star Advertiser, dia merasakan sesuatu tidak kena apabila wanita itu gagal hadir ke tempat kerjanya di sebuah spa, sehari selepas kematiannya.

Anak lelaki Liu kemudian menghubunginya memaklumkan wanita itu pergi ke pulau lain untuk beberapa bulan tanpa membawa telefon bimbitnya.

Mayat Liu ditemui dalam tujuh beg plastik di dalam peti sejuk beku di apartmen keluarga berkenaan di Waikiki, Honolulu.

Menurut pihak berkuasa, Yu menghubungi talian kecemasan pada April 2017 kerana rasa mahu membunuh diri. Ketika itu dia mengaku membunuh ibunya.

Polis yang menyiasat rumahnya pada mulanya tidak menemui mayat mangsa sehingga menjenguk peti sejuk beku, namun menemui beg plastik mengandung kepala serta sisa anggota Liu selepas dimaklumkan Yu.

Yu mengaku membunuh ibunya kerana berang dileter tidak mahu ke sekolah. Siasatan mengesahkan mangsa maut akibat hentakan objek tumpul di kepalanya.

Bagaimanapun, dia mendakwa tidak sengaja melakukannya. Yu dibebaskan dari hospital psikiatrik pada April 2017 dan dihadapkan ke mahkamah, namun langsung tidak bercakap. Dia kemudian diberi khidmat jurubahasa Mandarin untuk prosiding.

Pendakwa Wayne Tashima berkata, Yu turut didakwa mencuri identiti ibunya kerana membayar sewa menggunakan akaun wanita itu. Mahkamah menetapkan hukumannya pada Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 4:29 AM