Louchats (Perancis): Polis di sini menemui lima mayat bayi tersembunyi dalam dua penyejuk beku di sebuah rumah di sini, semalam.

Kelima-lima mayat berkenaan ditemui selepas seorang bapa berusia 40 tahun menelefon polis di bandar Louchats, berhampiran Bordeaux, barat daya Perancis.

Dalam laporannya kepada polis, lelaki itu mulanya berkata, dia menemui satu mayat bayi dalam bekas penyejuk beku mudah alih yang biasanya digunakan untuk menyimpan air sejuk.

Pegawai menyelongkar premis berkenaan dan menemui empat lagi mayat bayi dalam penyejuk beku besar.

Ia dipercayai kes pembunuhan bayi terbesar di negara itu abad ini.

Polis serta-merta menahan lelaki berkenaan besama-sama isterinya untuk disoalsiasat. Nama pasangan itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, mayat pertama ialah bayi yang baru dilahirkan.

“Wanita itu dipercayai melahirkan kandungannya kelmarin tanpa pengetahuan sesiapa. Suaminya kelihatan begitu kecewa apabila menemui semua mayat berkenaan,” kata sumber itu.

Ini bukan kes pertama mayat bayi ditemui dalam peti beku di Perancis.

Pada 2013, seorang wanita berusia 32 tahun dari Amberieu- en-Bugey di timur negara itu, mengaku membunuh dua anaknya dan menempatkannya dalam penyejuk beku.

Dia dipenjara 15 tahun sementara ibunya yang membantu dia melakukan jenayah dipenjara 18 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:26 AM