R Kelly. FOTO AFP
R Kelly. FOTO AFP
Reuters

MUZIK milik penyanyi R&B Amerika Syarikat, R Kelly dikeluarkan daripada senarai dan lagu yang dicadangkan dalam Spotify, susulan kempen boikot terhadap penyanyi itu yang didakwa terbabit dengan salah laku seks.

Kelly, 51, adalah antara penyanyi R&B paling berjaya sejak 20 tahun lalu, menjadi objek kempen boikot online #MuteRKelly paling hangat minggu lalu sejak dilancarkan oleh pergerakan Times’s Up yang menentang gangguan seksual.
“Tindakan itu akan membabitkan senarai lagu yang dimiliki, dikendali dan yang dicadangkan oleh Spotify,” kata syarikat perkhidmatan penstriman muzik itu.

Muzik Kelly masih boleh didapati menerusi perkhidmatan itu tetapi keputusan untuk mengeluarkannya dari senarai lagu bermakna ia tidak akan dipromosi.

Pengurus Kelly, John Holder gagal dihubungi untuk mengulas lanjut.

Spotify adalah perkhidmatan penstriman muzik terbesar di dunia dengan 75 juta pelanggan berbayar.

Julai lalu, penyanyi dengan nama sebenar Robert Kelly itu menafikan tuduhan menahan sekumpulan wanita muda di premis miliknya.

Pada 2008, seorang juri membebaskan Kelly dari tuduhan pornografi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 2:12 AM