ROTANA (kiri) dan Tala yang ditemui di tebing Sungai Hudson, New York. FOTO/AGENSI
ROTANA (kiri) dan Tala yang ditemui di tebing Sungai Hudson, New York. FOTO/AGENSI
AFP

NEW YORK: Dua adik-beradik warga Arab Saudi yang mayat mereka ditemui di tebing Sungai Hudson di sini, pada Oktober lalu disahkan membunuh diri, iaitu berdasarkan hasil siasatan oleh pegawai perubatan.

Hasil siasatan itu menunjukkan Rotana Farea, 22, dan adiknya, Tala, 16, yang ditemui dengan pinggang dan buku lali diikat bersama menggunakan pita perekat, tidak menunjukkan sebarang tanda trauma atau serangan.

“Kami memutuskan bahawa punca kematian Rotana dan Tala adalah akibat bunuh diri, dengan mengikat diri mereka bersama-sama sebelum terjun ke dalam Sungai Hudson,” kata Ketua Pemeriksa Perubatan, Barbara Sampson.

Selepas kejadian berkenaan, pihak polis seolah-olah mengesahkan bahawa kedua-dua mereka ada membuat permohonan suaka, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Menurut jurucakap Jabatan Polis New York, Rotana dan Tala dilaporkan tinggal di pusat perlindungan di Virginia tetapi meninggalkan bandar itu pada Ogos lalu menuju ke New York.

Seorang saksi dilaporkan melihat kedua-duanya pada 24 Oktober lalu di sebuah taman permainan berhampiran Sungai Hudson, sebelum mayat mereka ditemui orang ramai di tebing sungai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 1:03 PM