SELAT Inggeris diantara England (atas) dan Perancis (bawah). FOTO/AGENSI
SELAT Inggeris diantara England (atas) dan Perancis (bawah). FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Britain dan Perancis bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala dalam menangani isu kebanjiran pendatang yang cuba merentas Selat Inggeris, kata kementerian dalam negeri.

Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kedua-dua negara bakal meningkatkan rondaan pengawasan dan memberi tumpuan kepada langkah yang perlu dibuat dalam menangani kumpulan pemerdagangan manusia serta meningkatkan kesedaran berhubungan bahaya tindakan merentas laluan kapal antara paling sibuk di dunia.

“Britain dan Perancis bakal mengadakan kerjasama untuk mencegah kebanjiran pendatang haram, melindungi sempadan dan keselamatan orang ramai,” kata Menteri Dalam Negeri, Sajid Javid, selepas bercakap dengan rakan sejawatan, Christophe Castaner.

Percubaan untuk merentas Selat Inggeris semakin meningkat sejak Oktober lalu, dengan pihak berkuasa kedua-dua negara berusaha mencegah tindakan itu.

Terdahulu, Javid yang memberi jaminan masalah itu ditangani sebagai ‘keutamaan’ berdepan kritikan daripada pembangkang dan anggota partinya kerana tindak balas yang terlalu perlahan.

“Lebih daripada 200 pendatang tiba di pantai Kent dengan menaiki perahu kecil dalam tempoh dua bulan. Skala masalah itu belum pernah terjadi sebelumnya,” kata Ahli Parlimen Dover, tenggara England, Charlie Elphicke kepada Daily Mail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 5:35 PM