BOU Samnang tetap menamatkan larian meskipun menduduki tempat terakhir ketika hujan lebat. FOTO Agensi
BOU Samnang tetap menamatkan larian meskipun menduduki tempat terakhir ketika hujan lebat. FOTO Agensi
AFP

Phnom Penh: Pelari Kemboja yang menawan hati kerana semangat jitunya tetap menamatkan larian meskipun di tempat terakhir ketika hujan lebat, menerima ganjaran AS$10,000 (RM44,500) daripada Perdana Menteri, Hun Sen, semalam.

Pemimpin Kemboja itu berkata, dia memberi ganjaran kepada atlet Sukan Sea, Bou Samnang sebagai tanda menghargai ketabahannya.

Bou Samnang yang basah kuyup menangis selepas melintasi garisan penamat secara bersendirian dalam acara 5,000 meter (m), Isnin lalu, hampir enam minit ketinggalan selepas pemenang acara itu memenangi perlumbaan.

Keazamannya membuatkannya disanjung penyokong tuan rumah dan rakaman lariannya yang basah dan berseorangan menuju ke garisan penamat itu disiarkan di dalam dan luar negara.

Hun Sen, yang ketika ini menghadiri sidang kemuncak serantau di Indonesia, cukup mengagumi ketabahan atlet itu.

"Yang menariknya mengenai Bou Samnang ialah di berlari dalam hujan sehingga ke garisan penamat walaupun tidak memenangi pingat.

"Untuk menghargai ketabahannya, saya dan isteri saya menderma AS$10,000 kepadanya," tulisnya dalam satu kenyataan.

Purata gaji sehari pekerja di Kemboja adalah kira-kira AS$10 (RM44.50 sen). Sukan Sea di ibu negara Phnom Penh akan berakhir pada 17 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 10:22 AM