PEKERJA mengumpul serpihan pesawat Lion Air JT610 yang terhempas. FOTO Reuters
PEKERJA mengumpul serpihan pesawat Lion Air JT610 yang terhempas. FOTO Reuters
Reuters

PENYELAM Indonesia menyambung usaha mencari kotak hitam kedua iaitu perakam suara kokpit (CVR) hari ini di tengah bangkai pesawat Lion Air yang terhempas, Isnin lalu.

Terdahulu, pasukan penyelam cuma menemui sebahagian daripada kotak hitam pertama iaitu perakam data penerbangan (FDR).

Panel Ketua Keselamatan Pengangkutan Indonesia, Soerjanto Tjahjono berkata, usaha kini ditumpukan bagi mencari kotak hitam kedua.

“Pasukan pencari mendengar bunyi ‘ping’ daripada satu lagi kotak hitam sejak dua hari lalu,” kata Soerjanto.

Menurutnya, pasukan penyelam berdepan kesukaran bagi mencari kotak hitam kedua memandangkan keadaan laut yang bergelora meskipun dasar laut hanya sedalam 30 meter.

Semalam, penyelam tentera laut menarik keluar unit memori yang terselamat daripada satu daripada kotak hitam, sekaligus memberi harapan terdapat petunjuk bagi merungkai tragedi pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Indonesia di Karawang selepas beberapa minit berlepas dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang, Sumatera.

Kesan kerosakan pada kotak hitam pertama itu menunjukkan impak yang kuat pada pesawat ketika terhempas, kata penyiasat.

Sementara itu, Soerjanto berkata, mereka berusaha untuk memuat turun data secepat mungkin dan keputusan siasatan awal akan diberitahu selepas 30 hari. — Reuters

Berita berkaitan

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 7:52 PM