WANITA Korea Selatan mengadakan perhimpunan aman. FOTO/AGENSI
WANITA Korea Selatan mengadakan perhimpunan aman. FOTO/AGENSI
Reuters

SEOUL: Wanita Korea Selatan kini amat bimbang menjadi mangsa kamera intip kerana rakaman setiap perbuatan mereka akhirnya boleh dilayari di internet.

Bilangan kes mangsa kamera intip itu melonjak daripada 2,400 pada 2012 kepada 6,500 pada tahun lalu, lapor agensi berita Yonhap.

Kamera intip itu merakam aksi wanita sama ada ketika mangsanya melakukan hubungan seks, ketika mereka tidak berpakaian mahupun ketika membuang air kecil.

Ia dianggap ‘hukuman mati sosial’ bagi beribu-ribu wanita yang terpaksa meneruskan kehidupan selepas menjadi mangsa rakaman yang kemudian disiarkan di laman web lucah.

Rakaman yang tidak disedari mangsa mungkin dilakukan teman lelaki atau dibuat menggunakan alat tersembunyi sekecil kunci kereta.

Malah, bagi memastikan tiada yang menjadi mangsa, tukang cuci tandas awam melakukan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.

Fenomena penggunaan kamera intip secara sulit untuk tujuan tidak sepatutnya telah mencapai keadaan paling teruk hingga beribu-ribu wanita mengadakan bantahan di jalan raya bagi menuntut tindakan diambil.

Mereka yang terbabit biasanya menggunakan gajet kecil bagi merakam wanita di tempat awam termasuk di tandas dan bilik mencuba pakaian sebelum menjualnya kepada pemilik laman web lucah.

Rakaman menunjukkan wanita sedang menanggalkan pakaian atau melakukan seks boleh dijual dengan harga 100,000 won (RM374) dan dilaporkan ada yang meraih 100 juta won (RM367,501) sebulan, menurut laporan media yang tidak dapat disahkan Reuters.

Dalam kebanyakan kes, rakaman itu dilakukan pasangan mangsa dengan atau tanpa izin, di rumah atau hotel dan kemudian digunakan untuk membalas dendam selepas hubungan tidak menjadi.

Bulan lalu, pihak berkuasa Seoul berkata, mereka menetapkan seorang petugas tambahan akan melakukan pemeriksaan bagi mengesan sebarang alat rakaman di tandas awam selepas pemeriksaan penyiasat rasmi gagal menemui sebarang kamera tersembunyi.

Wanita yang menjadi mangsa biasanya akan meminta bantuan firma persendirian bagi memadamkan video aksi mereka dengan bayaran tertentu, membawa kepada kewujudan industri baru yang memberi untung besar.

Mengedar dan membuat bahan lucah boleh dikenakan hukuman tertentu di bawah undang-undang Korea Selatan tetapi ia masih berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 8:08 PM