DUA lelaki, dua wanita yang mencuri pakaian, coli di Singapura. FOTO/AGENSI
DUA lelaki, dua wanita yang mencuri pakaian, coli di Singapura. FOTO/AGENSI
Agensi

SINGAPURA: Pihak berkuasa keselamatan berjaya menumpaskan satu sindiket terbesar pencuri kedai pakaian di republik ini yang nampaknya menetapkan coli sebagai sasaran utama.

Ini berdasarkan butir-butir dokumen yang dibentangkan di mahkamah hari ini selepas empat warga asing dihadapkan di depan hakim dengan tuduhan mencuri pakaian wanita bernilai S$26,000 (RM78,607).

Tertuduh yang menghadapi dakwaan mencuri pakaian adalah dua lelaki dan dua wanita dan mencuri hampir 900 helai pakaian, lebih separuh daripadanya adalah coli.

Polis berkata, 529 coli adalah antara 868 pakaian yang dicuri selain beberapa beg pakaian, beberapa playa dan penyangkut baju.

Mereka mengelak daripada dikesan pengimbas keselamatan dengan meletakkan pakaian curi dalam beg kertas yang dipasang kerajang aluminium, lapor portal berita Vietnam dan Singapura.

Dokumen mahkamah mendedahkan, empat tertuduh memasuki sebuah kedai pakaian di Downtown East pada 1.30 petang Sabtu lalu dan mencuri 50 pakaian musim sejuk bernilai S$5,000 (RM15,107).

Mereka ditahan selepas pengurus sebuah kedai di Pasir Ris Close membuat laporan kepada polis yang meneliti rakaman kamera CCTV dan mengesyaki sesuatu yang mencurigakan apabila nampak tertuduh membawa beg pakaian.

Sejak Januari hingga Jun lalu, sebanyak 1,718 kes mencuri di kedai pakaian dilaporkan, satu penurunan berbanding tahun lalu iaitu 3,800 kes, 3,919 kes pada 2016 dan 3,940 kes pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:34 PM